KUCHING, 28 Mei 2025 — Sebanyak RM464.5 juta di bawah inisiatif SKAS telah disalurkan kepada 758,483 penerima melalui e-dompet S Pay Global milik Kerajaan Sarawak setakat ini, kata Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Inisiatif yang dilancarkan awal tahun ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup, malah merangsang perbelanjaan isi rumah dan menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti, khususnya peniaga kecil dan pengusaha runcit, ujar beliau.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan bagi Persidangan DUN yang berakhir pada hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak kekal komited untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan saksama. Prinsip kita jelas; tiada sesiapa pun wajar tertinggal dalam arus kemajuan.
“Usaha pembangunan yang dilaksanakan bukan semata- mata tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal, tetapi juga memperkukuh kesejahteraan rakyat dalam semua aspek sosioekonomi.
“Selaras dengan matlamat tersebut, Kerajaan GPS telah melaksanakan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang saya umumkan dalam Belanjawan pada penghujung tahun lalu,” jelas beliau.
Beliau berkata lebih membanggakan, pelaksanaan SKAS turut mempercepatkan adaptasi teknologi digital dalam kalangan organisasi akar umbi.
“Jawatankuasa kampung, persatuan belia dan biro wanita kini giat menggunakan platform digital untuk mengurus aktiviti, menyebarkan maklumat, serta mempromosikan produk tempatan secara dalam talian.
“Penggunaan S Pay Global yang dahulunya tertumpu di kawasan bandar, kini turut meluas ke luar bandar, sekali gus meningkatkan kecekapan dan keterlihatan organisasi setempat serta menggalakkan penglibatan dalam ekonomi digital,” ujar beliau.
Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang celik digital – masyarakat yang bukan sahaja berkeupayaan mengaplikasikan teknologi, malah bersedia menyesuaikan diri dengan lanskap digital yang sentiasa berkembang, tambah beliau.